Jumaat, 18 Disember 2009

Hijrah

Salam Maal Hijrah 1431.




Tanpa kita sedar, kita telah pun memasuki ke tahun baru islam. Saya pasti sahabat-sahabat sekalian masing-masing mempunyai azam baru, matlamat baru, tujuan baru, fikiran baru, sikap yang baru pada penghijrahan yang baru pada kali ini bukan? Mungkin sebahagian mengiyakan dan sebahagian lagi menidakkan dan mungkin juga ada yang mendiamkan diri vs membatukan diri.

Bagi kelompok yang mengiyakan berpendapat bahawa azam yang terdahulu telah kucapai dan aku mesti membuat satu penghijrahan yang baru pada tahun ini. Alhamdulilah syukur padaNya.
Bagi kelompok yang menidakkan; azam tahun lepas pun masih samar-samar dan belum berjaya untuk dicapai dan dibanggai, mana mungkin ingin menanamkan azam baru. Fikirkan kembali..
Dan bagi kelompok terakhir yang banyak mendiamkan diri ini, menjadi misteri samada mereka tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan sebarang penghijrahan buat diri mereka sendiri atau mereka cuma berazam tanpa cuba untuk menggapainya atau yang bagaimana? Termenung panjang barangkali.


Kelompok yang mana?

Anda berada di kelompok yang mana?
Mungkin ada yang berkata: “aku tidak termasuk dalam ketiga-tiga kelompok itu”.
Jadi anda adalah kelompok yang keempat? Kelompok yang keempat tu bagaimana pula ciri-cirinya? Saya tiada jawapan untuk itu. Jawapan mungkin ada pada anda sendiri.
Walau berapa pun kelompok yang anda cuba wujudkan tapi yang pasti anda, saya dan sahabat-sahabat sekalian kita ini semua adalah manusia yang bergelar hamba.

Manusia itu hamba.

Hamba yang lemah, yang banyak melakukan kesilapan, yang banyak melakukan dosa, yang jauh dari Tuhan. Maka apakah langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini. Tidak lain tidak bukan adalah berhijrah untuk menjadi hamba yang terbaik disisiNya.
Sesungguhnya Allah itu tidak menciptakan manusia itu sia-sia sahaja tetapi adalah supaya kita menyembahNya, mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.


Allah swt berfirman yang bermaksud,

"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu."

(Adz-Dzaariyaat: 56)

Justeru itu sahabat-sahabatku sekalian, sembahlah Allah. Pertingkatlah ibadat keranaNya, perbaikilah akhlak juga keranaNya. Jangan kalian lupa bahawa setiap saat, waktu, masa dan ketika yang kalian gunakan ini adalah main-main dan tidak diambil peduli olehNya? Kalian tersilap. Tidak sama sekali! Bahkan ia akan diperhitungkan oleh Allah dan tidak sedikit pun terkecuali.

Allah swt berfirman yang bermaksud,

Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya.

Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.

(Al- Zalzalah: 7-8)


Maka berhijrah supaya menjadi yang terbaik buat diri anda, kehidupan anda, keluarga anda, sahabat-sahabat anda, guru-guru anda dan untuk agama Islam kita utamanya.


Hijrahlah

Jika anda pelajar yang selalu gagal dalam pelajaran, maka berhijrahlah supaya kejayaan menjadi milik anda. Bagaimana nak mulakannya? Lakukankan perubahan strategi dalam jadual harian anda supaya lebih sempurna.

Jika anda anak yang selalu membuatkan ibu bapa anda pening dan runsing memikirkan sikap anda, maka berhijrahlah menjadi qurratun a’yun bagi kedua orang tua anda supaya mereka gembira dan berlapang dada dengan perubahan anda.

Jika anda adalah sahabat yang belum berjaya menjadi sahabat yang dikehendaki Allah dan rasul dalam menjalinkan hubungan sesama sahabat yang lain, maka berhijrahlah dengan mengenali ciri-ciri sahabat seperti sahabat baginda rasullulah s.a.w. yang sentiasa bersama nabi sewaktu susah dan senang, yang sentiasa istiqamah menegakkan agama Islam.

Jika anda adalah isteri yang senantiasa membuatkan suami anda tersenyum gembira memandang anda, maka berhijrahlah untuk menjadi yang lebih baik dengan mencontohi peribadi mulia lagi agung ummuhatul mukminin kepada baginda Rasullullah s.a.w.
Jika anda adalah suami yang kadang-kadang membuatkan isteri anda berasa cemburu dengan anda maka berhijrahlah dengan membuktikan bahawa hanya isteri anda di dalam hati anda dan hanya dia yang anda sayangi. Tiada yang lain selain dia setelah Allah dan Rasul yang utama.
Jika anda adalah ibu bapa yang jarang meluangkan masa untuk anak-anak anda maka berhijrahlah dengan memperuntukkan masa 24 jam itu sebaik-baiknyanya bagi mereka. Yakinilah bahawa anak-anak memerlukan ibu bapa dalam kehidupan mereka.
Walau siapa pun anda, walau apa pun jawatan anda, walau dimana pun anda berada, hanya satu seruan yang sama di utarakan BERHIJRAHLAH…


Dari Amirul Mu’minin, Abu Hafs Umar Ibn Khattab r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda :

“Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada apa yang diniatkan. Sesungguhya bg setiap orang apa yang diniatkannya. Barangsiapa hijrahnya untuk Allah & Rasul maka hijrahnya untuk Allah & Rasul. Barang siapa hijrahnya untuk dunia yang dihajatinya atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya pada apa yang diniatkan.”

Jadikanlah tahun 1431H ini sebagai penghijrahan yang terbaik untuk anda. Usah tunggu lagi. Pilihan di tangan anda!!

Artikel ini disediakan oleh ;
Siti Syafinaz Binti Md Latif
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

2 Comments:

  1. fatirah said...
    susunan ayat yg menarik.......
    sehingga kan dapat menyentuh hati saya dalam seruan hijrah ini...
    fatihah said...
    alhmdulillah, bagusnya kata2 dia..semoga kita semua berhijrah kearah yg lbh baik demi mencari keredhaan Allah..amin..

Post a Comment



Silaturrahim