Sabtu, 2 Januari 2010

Sabar


SABAR ITU ‘MANIS’.

Sabar itu sesuatu yang abstrak, yang tidak dapat disentuhi oleh tangan, tidak boleh dirasai dengan lidah dan tidak mampu dilihat dengan mata. Sabar itu juga dikatakan sesuatu yang indah bagi mereka yang menghayati kesannya. Ia juga disebut sesuatu yang manis bagi mereka yang dapat ‘merasainya’. Amat rugilah jika sesiapa yang tidak mempunyai sifat sabar dalam diri mereka sebaliknya berbahagianya golongan bersabar kerana sifat sabar itu begitu indah apabila Allah mencukupkan ganjaran pahala yang tidak terhingga bagi mereka yang bersabar.


Allah berfirman dalam surah al-zumar 39:10;

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

Mesti bersabar

Hendaklah manusia itu memupuk sifat sabar di dalam diri. Setiap ketika kita akan berhadapan dengan ujian, segala macam cubaan, pelbagai bentuk musibah. Maka bersabarlah.
Bersabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah, bersabarlah ketika anda sedang berhadapan dengan Allah ketika ibadah solat, cukupkan syarat dan rukunnya, berusahalah supaya dapat merasai manisnya solat ketika anda sabar menyudahinya.
Begitu juga bersabar dalam menjauhi maksiat kepada Allah, bermujahadahlah menahan diri ketika timbul keinginan ingin melakukan perkara yang dilarangNya. Bersabarlah ketika anda melihat sahabat anda gembira berdua-duaan dengan pasangan yang bukan muhrim sambil bergurau senda, usik mengusik tanpa merasa berdosa sedikitpun kepada Allah, Usah khuatir, bersabarlah kerana anda juga akan melalui saat itu. Yakinilah apabila sampai satu ketika anda juga akan sepertinya bergurau senda bersama pasangan yang halal bagi anda. Sesungguhnya dihujung kesabaran itu ada nikmat kemanisannya.
Dan bersabar juga dalam menghadapi musibah, ujian, dugaan, dan cubaan dari Allah. Datangnya ujian itu untuk mematangkan kita, untuk menyedarkan kita bahawa hidup ini ada pasang surutnya, ada pahit manisnya, ada sedih dan gembiranya, ada pilu dan bahagianya. Jadikan sabar dalam menghadapi semua musibah ini sebagai tanda kasih sayang dan cintanya Allah kepada kita. Maka bersabarlah dalam apa jua bentuk keadaan yang diberikan Allah kepada kita hambaNya.
Salah satu nasihat Lukman kepada anaknya yang dapat kita jadikan sebagai panduan dan ikutan yang bermanfaat adalah juga tentang sifat sabar.

Allah berfirman dalam surah lukman 31: 17 ;

Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).

Setiap manusia itu tetap akan diuji oleh Allah. Ujian yang pelbagai dalam bentuk yang berbeza. Gembiralah mereka yang dapat menahan ujian dan mampu menghadapinya dengan tenang. Manakala bagi mereka yang tidak mampu, malah mengeluh bahkan sampai menyalahkan takdir.
Persoalan ‘kenapa mesti aku! kenapa mesti aku!’ selalu bermain dibibir mereka yang lemah keimanan dalam menerima ujian. Hindarilah dan jauhilah dari bersifat lemah. Ingatlah wahai diri dan sahabat-sahabat sekalian,


Allah berfirman dalam surah al-baqarah 2:286 yang bermaksud;

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.



Justeru itu yakinilah bahawa Allah itu Maha pengasih lagi Maha penyayang kepada kita hambaNya. Dia tidak sama sekali akan menguji hambaNya terhadap sesuatu yang begitu menyeksa diri dan menyakiti kita. Jadi kenapa mesti kita masih menyalahkanNya! Malah kita perlu menerimanya dan menghadapinya dengan bijaksana. Allah juga begitu mencintai kita sehinggakan Dia telah membuka jalan dan ruang dengan menunjuki kita cara untuk mengatasi musibah atau ujian yang mendatang ini dengan sesuatu yang ‘manis’.


Bagaimana dengan sembahyang ?

Pasti kita hamba yang lemah ini, tertanya-tanya adakah dengan bersembahyang boleh mengatasi ujian yang Allah bagi? Ya, sudah tentu!
Sembahyang yang merupakan perintah khas dan khusus yang diwahyukan Allah kepada Rasullullah SAW tanpa perantaran Jibril ketika peristiwa isra’ dan mi’raj merupakan ibadah yang sangat penting serta mempunyai keistimewaannya tersendiri. Cukupkan syarat, sempurnakan rukun-rukunnya, penuhi jiwa dengan kemanisan solat itu, maka anda akan merasa ‘sesuatu’ dengan sembahyang anda. Sesungguhnya dengan mengekalkan ibadah sembahyang ini, ianya dapat memberikan tenaga tambahan kepada kita bagi menghadapi cubaan dan ujian Allah ini. Percaya lah!


Firman Allah dalam surah al-baqarah 2:153;
Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.

Akhirnya... anda, saya, dan sahabat-sahabat sekalian pasti akan merasai manisnya sifat sabar itu, indahnya kehidupan jika diiringi dengan redha Allah. Allah redha dengan hamba yang berusaha melaksanakan perintahnya menjauhi laranganNya. Perintah Allah agar hambaNya mempunyai sifat sabar, maka berusahalah menanam dan memupuk sifat tersebut. Ajaklah dan serulah sahabat-sahabat agar sama-sama berusaha. Dengan izin Allah kita semua akan memperolehinya. Berbahagialah duhai diri yang mendapat Redha Ilahi.




Hasil nukilan;
Siti Syafinaz binti Md Latif
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

2 Comments:

  1. fatihah usim said...
    salam...satu hasil nukilan yg baik untk dibaca..terus kan la penulisan tu ek..semoga boleh memberi manfaat kepada semua
    fatirah said...
    wau...express wau,
    hihi, mantap la.

Post a Comment



Silaturrahim