Isnin, 31 Ogos 2009






Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Salam Ramadhan salam mujahadah buat kalian semua.Doa ana moga kita semua dirahmati Allah Taala lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini.Lama tidak menukil kalam dalam blog usang ini.Rasa kerdil diri ini dan cemburu melihat blog-blog sahabat yang lain sarat dengan kalam serta cetusan ilmiah untuk tatapan bersama.Insya Allah dikesempatan yang ada,sekadar perkongsian bersama mengenai bulan yang kita duduki kini iaitu bulan Ramadhan.Moga kalian beroleh manfaat darinya..

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebutkan: “Bulan Rejab itu bulan Allah,
Bulan Syaaban itu bulanku (bulan nabi), dan Bulan Ramadan itu bulan umatku.” Bulan Ramadhan merupakan bulan yang amat dinantikan oleh orang yang beriman pada pencipta-Nya.Ini kerana, terlalu banyak yang diganjarkan buat mereka yang beriman pada bulan Al-Mubarak ini.Sesungguhnya bulan Ramadhan merupakan bulan yang diwajibkan keatas umat Islam berpuasa selama sebulan.Puasa bukan hanya untuk ritual sahaja, akan tetapi mengandungi unsur sosial. Banyak hikmah yang terkandung di dalamnya. Puasa sebagai salah satu sarana pembinaan mental. Dengan berpuasa kita akan menahan lapar dan dahaga, menahan diri dari melakukan maksiat, dan dari perkara yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sampai terbenamnya matahari.Andai ini yang berlaku bererti seseorang telah mengendalikan keinginan hawa nafsunya.Jika seseorang itu mampu mengendalikan hawa nafsunya bermakna seseorang itu beroleh kemenangan yang luar biasa.

Berbicara mengenai hawa nafsu terlalu banyak yang akan kita paling kepada perkara-perkara yang negatif.Sesungguhnya kerana hawa nafsu inilah, yang menjadi pangkal segala mala petaka.Hawa nafsulah yang menyebabkan manusia lupa daratan, terjerumus dalam lembah dosa dan maksiat,tidak pernah bersyukur dan tidak pernah merasa puas dengan rezeki yang diperolehinya. Sebagaimana kata Imam Ghozali, orang yang menjadikan asas hidupnya berlandaskan hawa nafsu tidak ubah seperti orang yang minum air laut, semakin diminum semakin haus.

Realiti masyarakat hari ini,berlakunya keretakkan sesebuah rumah tangga,keruntuhan akhlak muda-mudi, dan pergaulan bebas serta ikhtilat yang tidak syar’ie semuanya ini bermula dari hawa nafsu yang tidak dikendalikan dengan sebaiknya. Kerana hawa nafsulah yang menyebabkan manusia menjadi angkuh, sombong, merasa paling benar dan paling sempurna,tidak mahu mengalah,dan keegoan yang tinggi. Demikian juga halnya dengan keinginan yang melampau, gila pangkat ,gila hormat,sifat loba dan tamak atau serakah. Semuanya ini berpangkal dari hawa nafsu yang tidak dikendalikan dengan sebaiknya.

Sekiranya penyakit loba, tamak dan serakah ini menular di dalam kehidupan masyarakat umat Islam kini, pastinya akan mengakibatkan bencana yang amat besar. Suatu bangsa akan hancur andai penyakit ini terus melanda dan kian menular. Ini akan menimbulkan semangat kapitalisme yang kemudiannya bersifat ekspansionisme, iaitu ingin merebut dan mengambil milik orang lain. Sehinggakan perkara-perkara halal dan haram tidak pedulikan lagi.Sesetengah masyarakat hari ini hanya mementingkan kebendaan,wang ringgit dan ini merupakan satu penyakit rakus yang amat parah melanda umat Islam kita hari ini.Berkata Iman Ghazali: “sesungguhnya bencana yang paling besar dalam kehidupan ialah nafsu perut”.


Setiap yang negatif pastinya akan dipositifkan dengan pemikiran yang waras.Hawa nafsu merupakan satu kemestian yang ada pada setiap manusia kerana ianya adalah fitrah.Namun jika ia dikendalikan sbaiknya pasti akan memberikan kebahagian kepada seseorang itu.Seseorang itu akan beroleh ketenangan jiwa, kedamaian hati ,dapat berfikiran dengan rasional, dan wajah akan sentiasa berseri. Seseorang itu juga akan terlepas dari keresahan dan kegelisahan ketika menghadapi musibah yang melanda. Masalah seperti rasuah,korupsi dan manipulasi atau kebocoran wang Negara pasti tidak akan kedengaran lagi.Kita akan diberkati,masyarakat lebih aman dan tenteram dan Negara akan membangun sebagai sebuah Negara Islam yang dicita-citakan.


Dari sudut pembinaan keluarga pula,sebenarnya terlalu banyak natijahnya yang boleh diambil dalam bulan yang mulia ini.Sebagai contoh,waktu bersahur serta berbuka.. ahli keluarga akan berkumpul dan akan makan bersama-sama.Seusai menjamah sekadar yang memadai peranan ayah yang akan mengajak anak-anaknya ke Masjid untuk menununaikan solat taraweh dan sama-sama bertadarus bagi menghidupkan lagi bulan yang menjanjikan hadiah yang lumayan ini dari Allah Taala.Tidakkah ini menggambarkan suatu sarana pembinaan keluarga yang harmoni,bahagia dan penuh dengan ketenangan??

Hubungan kekeluargaan antara anak dengan kedua orang tuanya dan hubungan antara suami dengan isterinya, akan terasa semakin dekat dan semakin akrab. Secara realitinya,kehidupan zaman moden kini amat-amat memerlukan peranan atau kelebihan yang ada dalam bulan Ramadhan ini dalam mengeratkan dan memancarkan serta mengembalikan kebahagiaan dalam sebuah keluarga itu.

Mana tidaknya,masyarakat yang hidup dalam dunia penuh kemodenan kini terutama yang tinggal di kota-kota besar terdedah kepada berbagai pekerjaan serta kesibukan sehinggakan tidak punya masa pada keluarga sendiri.Ibarat kata.’keluar sebelum matahari naik, pulang ketika bulan muncul dikegelapan malam’.. Pergi pagi pulang malam. Berangkat ketika anak masih tidur, dan pulang setelah anak mulai tidur. Ini realiti,pada mereka yang berkeluarga tepuk dada tanya diri sendiri benar atau tidak?? Jangan hairan, andai ada anak-anak yang tidak pernah bersahur atau berbuka dengan ibubapa mereka kerana sibuk bekerja.

Menyentuh mengenai hal kekeluargaan, jalinan ukhwah fillah atau silatur rahim antara sesama manusia juga semakin rapuh.Masyarakat lebih suka mengambil sikap individualistik dari mengambil cakna akan jiran tetangga atau rakan terdekat.Sesetengah individu lebih suka membuat hal masing-masing tanpa menghiraukan orang lain.Sehinggakan amar makruf nahi munkar serta insan-insan yang memerlukan bantuan diluar sana menjadi hal remeh bagi mereka apatah lagi ukhwah sesama mereka.Ramai yang cenderung kepada material andai ada yang inginkan pergantungan barulah ada ukhwah yang terjalin..andai tidak, jangan harap ada yang ingin mengambil berat hal rang lain.

Sesungguhnya bulan Ramdhan ini merupakan bulan yang penuh ketenangan.Diri kita akan sentiasa berebut-rebut mencari santapan rohani dan ingin melakukan amal kebajikan andai kata bulan-bulan yang lain tidak mempunyai masa untuk melakukan sedemikian.Dengan ibadah puasa inilah kita mengharapkan akan lahirnya hati-hati yang ikhlas,tulus suci dan punyai sifat mementingkan ukhwah fillah.Di mana orang kaya dapat merasakan penderitaan orang miskin yang ibaratnya ‘kais pagi makan pagi,kais petang makan petang’..sekurang-kurang terdetik dihati insan yang agak berada itu atau rasa ukhwah sesama Islam dapat membantu dan meringankan saudaranya.

Jelas dan terang hikmah yang tersirat dalam bulan yang barakah ini. Sikaya dapat menderma dan membantu, dalam masa yang sama dapat menambah saham buatnya di akhirat.Manakala si miskin dapat merasakan keringanan dalam hidup lebih-lebih lagi dalam menyambut bulan penuh rahmat ini.
Diharapkan seusai sudah menjalankan ibadah puasa ini, keikhlasan dan kesabarannya dalam menghadapi musibah dan penderitaan hidup semakin mantap.Imannya semakin kuat. Kalau sudah dibiasakan dengan niat yang ikhlas dalam menghadapi cubaan demi cubaan, ia pasti menjadi satu santapan manis dalam mencari redha Allah Taala.

Suatu yang pasti setiap apa yang Allah Taala jadikan ada hikmahnya.Lebih-lebih lagi bulan Ramadhan al-Mubarak ini.Marilah sama-sama kita merebut peluang keemasan yang hanya ada dalam bulan mulia ini.Moga kita tergolong sebagai hamba Allah yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.Bermujahadahlah dalam bulaN ini kerana terdapat 1001 hikmah didalamnya yang menjanjikan hadiah serta ganjaran dari Allah Taala..Wassalam

SALAM RAMADHAN
SELAMAT BERPUASA

Petikan dari : Salammujahadah.blogspot.com

0 Comments:

Post a Comment



Silaturrahim