Sabtu, 18 April 2009

Pelajar YK


KENANGAN bersama rakan-rakan seperjuangan,
Norhafiza Mat Nor (empat dari kanan di barisan kedua,
segak berpakaian uniform penuh.



Belum pun masalah keruntuhan akhlak membabitkan kegiatan liar remaja dan ‘Mat Rempit’ selesai, kini masyarakat berdepan dengan salah lagi isu yang sangat serius seperti perzinaan yang berleluasa sehingga mengakibatkan pembuangan bayi.

Hampir saban hari, media massa sama ada media elektronik mahupun media cetak menyajikan gambar bayi sama ada yang masih hidup atau bayi sudah tidak bernyawa lagi dibuang merata-rata.

Kes pembuangan bayi yang berleluasa ini jelas membuktikan betapa teruknya kemerosotan moral kita.

“Hati mana yang tidak sayu dan sebak apabila melihat si kecil yang tidak berdosa dibuang akibat perbuatan ibu bapa mereka,” kata Pegawai Penyiasat Jenayah Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Asisten Supritendan Norhafiza Mat Nor, 29.

Begitulah suasana pilu yang berlaku setiap kali menyiasat kes-kes pembuangan bayi, penganiayaan kanak-kanak dan sebagainya.

“Degupan jantung saya seolah-olah terputus untuk beberapa saat melihat bayi yang cukup sifat dibuang ke dalam tong sampah.

“Kejamnya manusia kini, sanggup membuang mutiara hasil perkongsian hidup mereka di tempat yang penuh dengan semut, lalat dan ulat sebegini.

“Kucing pun sayangkan anak, ini kan pula manusia yang dilahirkan dengan dengan akal fikiran yang sempurna,” kata Norhafiza sejurus melihat mayat bayi lelaki di dalam lori sampah di USJ 5, Subang Jaya pada 15 Mei lalu.

Pekerja lori sampah yang sedang membuat kerja-kerja pengangkutan ketika itu terkejut melihat satu objek yang seolah-olah patung.

Apabila mendekatinya, rupa-rupanya ia adalah mayat seorang bayi lelaki. Lelaki itu kemudiannya membuat menelefon balai polis.

Menceritakan pengalaman pertama melihat mayat seorang bayi yang cukup sifat sebaik memegang jawatan sekarang, anak kelahiran Kampung Weng Dalam, Baling itu berkata, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi khususnya kepada pegawai wanita.

Katanya, perasaannya marah bercampur sedih melihat keadaan bayi yang hanya ‘dibungkus’ dengan kain tudung biru muda dan siasatan awal mendapati bayi berkenaan dilahirkan kurang dari 24 jam sebelum ditemui.

Lebih menyedihkan, bayi itu mempunyai kesan lebam di mata, dipercayai akibat hentakan ketika ‘mutiara’ itu dibuang.

“Kalau betul nak buang pun, biarlah bayi itu diletakkan di tempat orang ramai atau pusat-pusat kebajikan,” ujarnya sambil marah.

Bercerita mengenai ruang lingkup tugasnya, Norhafiza berkata, walaupun bukan semua yang berpeluang berhadapan dengan mayat kerana hanya orang yang benar-benar berani dan cekal hati saja boleh mendekatinya.

Namun perasaannya sedih setiap kali melihat mangsa yang teraniaya terutamanya melibatkan kes-kes rogol dan keganasan rumahtangga.

“Bekerja dalam bahagian jenayah seksual memerlukan daya kesabaran yang tinggi kerana terpaksa berdepan dengan macam-macam kes.

“Ada banyak kes yang melibatkan pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah. Mereka begitu berani melakukan hubungan seks dengan teman lelaki atas dasar suka sama suka.

‘‘Walaupun mereka menganggap tindakan ini ‘menyeronokkan’ tetapi mereka tak fikir mengenai masa depan.

“Saya cukup sedih setiap kali memanggil pelajar-pelajar ini untuk mengambil keterangan, walaupun tindakan mereka suka sama suka tapi mereka masih di bawah umur, kes itu tetap diklasifikasikan sebagai rogol,” katanya.

Menyingkap latar belakang wanita berani ini, anak sulung kepada pasangan Mat Nor Ramli, 55, dan Siti Zaiyah Jab, 50 ini menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Keroh, Kedah.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Baling.

Selepas tamat Norhafiza ditawarkan untuk menyambung pelajaran di Universiti Utara Malaysia dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Awam sebelum menjalani latihan sebagai kadet ASP di Maktab Cheras pada 2006.

Sejurus tamat menjalani latihan, anak kepada anggota polis itu kemudiannya diserapkan ke Bahagian Jenayah Seksual IPD Subang Jaya sebagai Pegawai Penyiasat.

0 Comments:

Post a Comment



Silaturrahim